Friday, November 28, 2014

Jamuan Perpisahan Tahun 6 2014

20 NOVEMBER 2014
Setiap pertemuan pastinya ada perpisahan...walaupun perpisahan itu bukan yang diharapkan, namun lumrah kehidupan menetapkan sebegitu. Setelah belajar bersama lebih kurang enam tahun di sekolah yang sama malah dalam kelas yang sama, akhirnya murid-murid tahun 6 terpaksa menerima hakikat bahawa mereka hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk berada dalam kelas yang sama dan bergelar murid SKBT.
Majlis Jamuan Perpisahan yang diadakan secara sederhana ini dimulakan dengan ucapan PKP, kemudian ucapan wakil murid dan bacaan doa oleh Ustaz Zool. Antara juadah yang dihidangkan ialah nasi ayam, satay, KFC, kek, puding, nugget dan banyak lagi. Semoga majlis yang ringkas ini akan menjadi salah satu memori indah murid-murid 6C 2014 di SKBT.

Thursday, November 27, 2014

Program Kacau Bubur Syura

20 NOVEMBER 2014
Semua warga sekolah SKBT hari ini bergotong-royong mengacau bubur as-syura. Cetusan idea Guru Besar ini sekali lagi menuntut kerjasama dan komitmen para guru. Walaupun ini merupakan kali pertama diadakan program seperti ini di sekolah, namun semua guru dan staf bersedia sepenuhnya. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing...bermula jam 8.00 pagi lagi, semua guru dan staf menyiapkan bahan-bahan dan alatan untuk memasak bubur as-syura. Bahan-bahan untuk memasak syura ini adalah sumbangan setiap guru dan staf. Ada yang menyediakan gula, kacang, jagung, kelapa, tepung beras, ubi keledek, bekas tupperware dan sebagainya.







Thursday, November 20, 2014

SKBT Johan Tandas Bersih Peringkat Negeri

19 NOVEMBER 2014

Impian seluruh warga SK Bukit Tambun untuk meraih kejayaan demi kejayaan dalam mengukir nama bukan sahaja di peringkat daerah tetapi di peringkat yang lebih tinggi akhirnya menjadi realiti apabila SKBT dinobatkan sebagai JOHAN TANDAS BERSIH Peringkat Negeri. Kejayaan ini sebenarnya telah dimaklumkan melalui surat beberapa minggu yang lalu, namun kejayaan ini sudah pastinya lebih manis apabila diumumkan dalam Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Sunway Carnival. Puan Sarimah Guru Besar SKBT tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dengan melakarkan senyuman manis apabila naik ke pentas untuk menerima sijil pengiktirafan sebagai Johan Tandas Bersih. Kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada semua warga SKBT untuk berusaha meraih kejayaan yang lebih baik.

Sesungguhnya kejayaan yang diperoleh ini tidak datang bergolek. Selepas menjulang trofi sebagai Johan Tandas Bersih Peringkat Daerah, semua warga SKBT bertungkus lumus membuat persiapan untuk pertandingan peringkat negeri. Semua pihak sama ada pentadbir, guru, staf sokongan dan juga murid-murid mengerah idea dan tenaga untuk menambah baik keceriaan dan kebersihan tandas. 

 
Sambutan Hari Tandas Sedunia
Sudut Pameran SKBT



"Jika anda berhasrat untuk berjaya, jangan hanya memandang ke tangga tetapi belajarlah untuk menaiki tangga tersebut"