Thursday, November 13, 2014

Eksplorasi Pulau Pinang SKBT 2014

12 November 2014
Seramai 40 orang murid bersama 4 orang guru pengiring telah menyertai Lawatan Sambil Belajar ke Pulau Pinang. Lawatan yang disertai oleh murid-murid Tahun 6,pengawas sekolah dan pengawas PSS ini merupakan salah satu Program Selepas UPSR untuk.murid tahun 6 dan juga Aktiviti Tahunan Badan Pengawas dan Pusat Sumber.
Lawatan kali ini dikendalikan oleh Cikgu Nazariah (Penyelaras projek), Cikgu Nik Faizul (Ketua Rombongan), Ustaz Zool (Guru Pengawas) dan Cikgu Mazlina (Guru Tahun 6).
Beberapa tempat menarik sekitar Pulau Pinang telah menjadi destinasi lawatan kali ini. Antara tempat yang dikunjungi ialah Muzium USM, Rumah P,Ramlee, Bukit Bendera dan Padang Kota. Bagaimanapun, beberapa tempat lagi tidak dapat dikunjungi disebabkan masalah cuaca.

TAKLIMAT SEBELUM BERTOLAK
Bertempat di tapak perhimpunan, selepas membuat pendaftaran peserta, Cikgu Nazariah memberikan taklimat ringkas berkaitan program lawatan yang akan dijalankan pada hari ini. Para peserta yang memakai T-Shirt berwarna hijau yang ditempah khas untuk program lawatan ini nampaknya tidak sabar-sabar menunggu arahan untuk menaiki bas. Di atas bas pula, Puan Hajjah Zaiton, PK HEM menyampaikan sedikit amanat dan pesanan kepada para peserta. Mereka dinasihatkan agar menjaga keselamatan diri dan menjaga nama baik SKBT. Tepat jam 8.30 pagi, bas bertolak dari perkarangan sekolah ke destinasi yang dirancang iaitu Muzium USM.

DI MUZIUM & GALERI TUANKU FAUZIAH USM
Walaupun bersekolah di Pulau Pinang, namun boleh dikatakan kesemua peserta lawatan ini masih belum berkunjung ke Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM sebelum ini. Ini merupakan pengalaman pertama mereka ke Muzium USM dan ternyata mereka begitu teruja apabila menjejakkan kaki ke sini.

DI RUMAH P.RAMLEE
Rumah P. Ramlee merupakan sebuah muzium yang terletak di Jalan P. Ramlee (dahulunya dikenali sebagai Caunterhall Road) . Bangunan ini merupakan rumah kayu bagi memperingati seniman tanahair yang terkenal iaitu P. Ramlee, penyanyi, pelakon, penggubah dan juga pengarah. Asalnya ia dibina pada tahun 1926 oleh ayahnya dan ayah saudaranya, rumah ini telah beberapa kali dibaik pulih sebelum diambil alih sepenuhnya oleh Arkib Negara sebagai sambungan projek Memorial P. Ramlee di Kuala Lumpur. 
Para peserta tidak melepaskan peluang untuk mengenali seniman P.Ramlee  dengan lebih dekat melalui barangan yang dipamerkan di sini termasuklah diari, gambar, kenangan peribadi yang bersangkut paut dengan kehidupannya di Pulau Pinang, dan juga barangan kepunyaan keluarga beliau.

DI BUKIT BENDERA
Jangkaan bahawa tidak ramai pengunjung yang akan ke Bukit Bendera pada hari ini kerana hari bekerja tidak tepat. Setibanya di Bukit Bendera, kami dikejutkan dengan jumlah pengunjung yang agak ramai. Cikgu Nazariah terpaksa beratur hampir 20 minit untuk mendapatkan tiket. Kemudian para peserta terpaksa menunggu berpuluh minit lagi untuk menaiki Train ke puncak Bukit Bendera. Namun, kepenatan menunggu itu semua hilang apabila kesemua peserta tiba di puncak bukit dan melihat keindahan panorama yang begitu memukau. Selepas diberi sedikit taklimat ringkas, para peserta diberi peluang dalam kumpulan masing-masing untuk menikmati keindahan dan tempat-tempat menarik yang ada di puncak Bukit Bendera.

MENJAMU SELERA DI PADANG KOTA
Selepas turun dari Bukit Bendera, para peserta dibawa ke Padang Kota untuk menjamu selera. Mereka diberi peluang untuk memesan makanan yang disukai. Namun disebabkan tidak banyak pilihan menu yang ada kerana banyak kedai tutup, maka peserta lelaki berepakat untuk makan nasi ayam manakala peserta perempuan ada yang menikmati laksa penang dan ada yang makan nasi ayam. Dengan tiupan angin laut yang segar dan nyaman , makanan yang disajikan begitu membuka selera para peserta. 


No comments:

Post a Comment