Sunday, February 8, 2015

LDP 2015 - Penggunaan VLE Frog dalam Pemantapan Akademik

7 FEBRUARI 2015

Jawatankuasa LDP SKBT memulakan langkah 2015 dengan mengadakan Kursus Penggunaan VLE Frog kepada semua guru di sekolah ini. Cetusan idea Penyelaras ICT sekolah, Encik Kesavan ini diadaptasikan oleh setiausaha LDP, Puan Ruzaini dalam kertas kerja dan terus diluluskan oleh Guru Besar, Puan Sarimah. Justeru, seawal jam 8.30 pagi, guru-guru SKBT telah tiba di sekolah untuk menimba ilmu berkaitan VLE Frog. Sebenarnya, kursus seumpama ini telah diadakan dua tahun yang lepas, namun kursus kali ini sebagai usaha memantapkan lagi penggunaan VLE Frog dalam kalangan guru. Antara pengisian kursus kali ini adalah berkaitan dengan cara-cara menyediakan soalan / tugasan / ujian kepada murid-murid. 

Sejak kemunculan teknologi internet, ianya telah mengubah corak hidup komuniti dan masyarakat di seluruh dunia dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Penggunaan internet terus berkembang dari masa ke semasa. Antara bidang yang turut berkembang dalam era internet ini ialah pembelajaran maya (virtual learning). Menurut KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2012), setiap murid perlu mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan teknologi yang mencorak dunia masa kini, Sejajar dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah bekerjasama dengan 1BestariNet memperkenalkan Frog Virtual Learning Environment atau Frog VLE dan memperluaskan teknologi ini untuk meningkatkan tahap pendidikan dan melengkapkan murid dengan kemahiran sewajarnya. Frog adalah VLE yang dipilih bagi projek 1BestariNet. Frog mempunyai fungsi sebagai komuniti pembelajaran bagi seluruh warga sekolah. Frog VLE adalah platform berteras cloud yang fleksibel dan boleh diakses di mana-mana jua dari luar kawasan sekolah juga. Fail dan data yang disimpan di cloud boleh diakses dimana-mana sahaja dan bila-bila masa dengan capaian Internet.

No comments:

Post a Comment